JOHOR BAHRU – Pertubuhan Kebajikan Ihsan menyifatkan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa malaikat pun lari jika menjadi Presiden UMNO adalah biadab dan keterlaluan.
Pengerusinya, Zamrin Hamzah berkata, Ahmad Zahid yang didakwa di mahkamah dengan 47 kes rasuahnya seakan menggambarkan dirinya lebih mulia daripada malaikat iaitu merupakan makhluk suci ciptaan Allah.
Ahmad Zahid katanya, perlu bertaubat dan mohon ampun atas keceluparannya itu kerana tidak mahu perkara tersebut menjadi ejekan, kebiasaan dan salah faham malah akan dianggap bukan satu kesalahan.
Beliau secara sinis berkata, malaikat tidak ada ‘kes mahkamah’ dan tidak akan bersekongkol dengan ‘pihak’ yang jelas memusuhi Islam serta mahu memusnahkan bangsanya sendiri.
“Belum pernah malaikat ingkar perintah Allah, hanya iblis yang ingkar perintah Allah.
Harap berhati-hati dalam membuat ucapan, janan tonggang agama untuk kepentingan politik dan diri sendiri.
“Kita jangan sekadar menolak makan babi kerana babi itu haram dimakan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Sabtu lalu Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja, Batu Pahat berkata, UMNO perlukan ahli yang setia dan tahan diuji, tidak lari apabila parti bukan menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Katanya, UMNO berdepan dengan ujian yang cukup hebat sebelum ini apabila harta milik parti dirampas dan akaun dibeku.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan kepimpinan UMNO yang lain diuji ketika itu.
“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan Presiden UMNO ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam.
“Tapi rakyat tetap pertahan UMNO. Kita tak perlukan orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan, kita tidak perlu orang kaya tetapi menghabiskan.
“Kita hanya mahukan ahli yang amanah dan taat setia kepada parti,” katanya.- MalaysiaGazette
















