KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memaklumkan akan terus mengadakan rundingan berhubung cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif import 25 peratus terhadap beberapa negara termasuk Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengesahkan isu yang sama akan dibangkitkan dalam pertemuannya bersama Setiausaha Negara AS, Marco Rubio esok.
Menurut beliau, pendekatan rundingan tetap menjadi keutamaan memandangkan sebarang keputusan yang bersifat unilateral oleh Washington dijangka memberi kesan kepada ekonomi Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara secara keseluruhan.
“Kami (Malaysia) telah menghantar pasukan rundingan untuk menjelaskan pendirian bahawa negara kita merupakan sebuah negara dagang.
“Sebarang tarif secara unilateral akan memberi kesan negatif kepada ekonomi kita dan juga rantau ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Anwar, rundingan masih berjalan dan kerajaan Malaysia telah mengemukakan hujah serta penjelasan rasional kepada pihak AS termasuk mengambil kira hubungan ekonomi dua hala yang saling menguntungkan.
“Apabila saya bertemu dengan Setiausaha Negara AS esok, saya pasti akan membangkitkan beberapa isu untuk pertimbangan beliau agar dapat dibawa ke perhatian Presiden sebelum keputusan muktamad dibuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, Malaysia menghargai hubungan diplomatik dan ekonomi dengan AS namun tetap berharap sebarang keputusan dasar perdagangan dapat diputuskan secara adil melalui perbincangan dan saluran sewajarnya.
“Hubungan dengan Amerika perlu dikekalkan dan dihargai. Tetapi dalam masa sama, kita juga nyatakan pendirian bahawa Malaysia ialah sebuah negara dagang yang bergantung kepada pasaran terbuka.
“Kita telah kemukakan alasan dan hujah dan mereka beri tempoh sehingga Ogos sebelum membuat keputusan akhir,” jelasnya.
Kelmarin, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan melalui kenyataan rasmi di platform Truth Social bahawa tarif import baharu akan dikenakan ke atas barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan bermula 1 Ogos, sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula imbangan perdagangan AS. – MalaysiaGazette
















