Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor mencemar duli menyampaikan penghargaan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Johor 2024 di Renaissance Hotel, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU –Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memastikan 44 projek sekolah tertangguh di negeri ini dapat dimulakan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, bagi memastikan semuanya berjalan lancar lawatan setiap dua minggu akan dilakukan bagi meninjau perkembangan projek-projek tersebut.

“Setiap dua minggu saya akan melihat satu persatu projek yang dikatakan tidak bermula lagi untuk memastikan ia bergerak.

“Kita berusaha memastikan kesemua projek yang telah diluluskan dapat berjalan lancar daripada segi pembangunannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Johor 2024 di Renaissance Hotel, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh isteri Pemangku Sultan Johor Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Aznan berkata, kerajaan negeri sentiasa mendukung projek yang memberikan manfaat dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikannya dilaksanakan.

“Kita akan sentiasa mempermudah (pelaksanaan projek), jadi itulah hasrat kami untuk memastikan ia berjalan dengan baik kerana hasilnya adalah untuk rakyat Johor,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat 44 projek sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Johor dikenal pasti tertangguh termasuk pembinaan sekolah baharu serta daif.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan sebanyak 222 projek membabitkan pelbagai kemudahan yang sepatutnya dilaksanakan antara 2016 hingga tahun lalu masih berada dalam peringkat prapelaksanaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast