JOHOR BAHRU – UMNO rakus dan melanggar semangat muafakat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) apabila mahu merampas kerusi Parimen Sri Gading pada pilihan raya akan datang yang kini disandang Partu Amanah Negara (Amanah).
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, hasrat UMNO untuk bertanding di Parlimen tersebut adalah bukti nyata UMNO sendiri yang mencabuli prinsip setiakawan yang selama ini cuba dijaga rakan-rakan dalam kerajaan Perpaduan.
“Lebih memalukan, kerakusan UMNO dilihat semakin menjadi-jadi, apabila secara konsisten menyebut hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sri Gading juga milik gabungan PH.
“Tindakan sebegini tidak mencerminkan jiwa besar atau semangat kerjasama, tetapi hanya mendedahkan kerakusan kuasa dan ketandusan keikhlasan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Sabtu lalu, UMNO Bahagian Sri Gading di Batu Pahat meluluskan usul tergempar agar kerusi Parlimen Sri Gading kekal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika dalam ucapan perasmiannya, turut bersetuju untuk UMNO mengambil semula kerusi itu daripada Amanah.
Pada PRU-15, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan menang kerusi Parlimen Sri Gading dengan majoriti 4,000 undi menewaskan Mohd Lassim (Barisan Nasional/UMNO), Zanariyah Abdul Hamid (Perikatan Nasional/Pas) dan Mahdzir Ibrahim (Gerakan Tanah Air/Pejuang).
Mengulas lanjut, Dr Zuhan berkata, kenyataan UMNO itu disuarakan semasa rakyat masih bergelut dengan isu kos sara hidup, pekerjaan dan ekonomi harian.
Ketua Pas Kawasan Kluang itu berkata, fokus utama semua parti sepatutnya tertumpu kepada penyelesaian, bukan manipulasi kuasa dan politik yang tidak bertanggungjawab, hanya akan memenatkan rakyat serta mengikis keyakinan terhadap kerajaan.
Amanah Johor tegasnya, ingin mengingatkan pimpinan UMNO khususnya di peringkat negeri agar tidak terus-menerus sibuk berpolitik semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat dan menjaga semangat setiakawan dalam kerajaan Perpaduan.
“Saya tidak lupa bagaimana kenyataan saya sebelum ini pernah diselar hanya kerana mengingatkan tentang kerakusan politik UMNO yang mungkin membawa kepada pertindihan tuntutan kerusi.
“Ketika itu, saya akui dan akur dengan nasihat agar menjaga adab dan etika setiakawan dalam pentadbiran Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

















UMNO bukan anggota PH..so ok laa..apa masalahnya..lain lah kalau Amanah bertanding kerusi DAP…tu tak blh lah