Baharom Mohammed dan Che Mah selepas melawat anaknya di HSA, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – “Saya baru saja dapat telefon daripada anak, dia beritahu nak naik helikopter untuk latihan, dia ada mintak saya berdoa sebelum berlepas.

“Tidak lama kemudian dapat panggilan telefon pula menyatakan helikopter dinaiki anak terhempas. Terkejut tetapi Alhamdulillah anak selamat dan sekarang ditempatkan di wad biasa untuk rawatan.”

Itu cerita Baharom Mohammed, 82, bapa kepada pembantu juruterbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintenden Ahmad Bustamin, 43, yang terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah, semalam.

Baharom berkata, Ahmad Bustamin mengalami kecederaan patah tulang termasuk tulang rusuk, bengkak di bahagian muka dan kaki kebas tetapi boleh bercakap dan bercerita kejadian itu.

Katanya, anak kedua daripada lima beradik itu kini berada dalam keadaan sedar, stabil dan masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Jelas pesara kerajaan itu, menurut pihak polis anaknya adalah mangsa pertama yang berjaya keluar dari helikopter selepas terhempas manakala empat penumpang lain dilaporkan pengsan.

“Mangsa yang lain itu dengar daripada polis, pengsan. Pengsan duduk dalam itu.
Nasib sebelum ini dia pernah ambil latihan helikopter dan masa kejadian pakai helmet.

“Kalau tak pakai helmet…muka dah bengkak. Bengkak habis. Dia sedar semasa kejadian berlaku,” katanya ditemui pemberita selepas dia dan isteri, Che Mah Abu Bakar, 76, melawat anaknya itu di HSA hari ini.

Baharom, isteri dan keluarga termasuk isteri Ahmad Bustamin bertolak dari Alor Setar, Kedah pukul 10 malam tadi dan sampai di Johor Bahru pukul 8 pagi tadi.

Ahmad Bustamin katanya mempunyai empat anak berusia 16, 13, 12 dan 9 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/07/10/helikopter-pdrm-terhempas-ketika-latihan-mitsatom-2025/

“Kebetulan anak sulung Ahmad Bustamin yang bersekolah di Alor Setar, Kedah berada di Johor kerana mengikuti program sekolah, jadi dapat jumpa dengan bapanya,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, dua daripada lima kru helikopter jenis AS355N yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah di sini dilaporkan kritikal.

Dua mangsa itu kini diberikan bantuan pernafasan, manakala tiga yang lain dilaporkan stabil.

Dalam insiden itu, helikopter AS355 milik PDRM itu dilaporkan terhempas berhampiran Jeti APMM di Gelang Patah, ketika melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena Latihan Operasi Maritim Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025 melibatkan empat negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG.

Menurut CAAM helikopter berkenaan yang dikendalikan PDRM telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast