Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Buah durian akan dapat dinikmati sepanjang tahun dan bukan lagi mengikut musim apabila Pusat pengumpulan dan pemprosesan durian di Tangkak beroperasi dalam tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, pusat berkenaan akan membekalkan durian selain mengatasi isu lambakan ‘raja buah’ itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun sudah siap, pusat itu baru beroperasi secara kecil-kecilan dan akan dilaksanakan secara total apabila tiba musim pengeluaran durian yang lebih banyak.

“Oleh kerana durian ini bermusim, yang mana paling banyak pengeluaran antara Jun hingga Ogos, jadi tahun lalu, Kerajaan Negeri Johor membuat usaha sama dengan FAMA (Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan) membuka satu pusat pengumpulan hasil durian di Tangkak.

“Kita berusahasama dengan satu syarikat dari Selangor dengan teknologi China yang menggunakan nitrogen untuk tujuan membekukan durian dan selain itu kami juga akan memprosesnya menjadi pes atau jem dan pelbagai lagi hasil durian lain.

“Sudah siap (pusat), sudah mula beroperasi kecil-kecilan,” katanya ketika sidang media selepas Sesi Santai Makan Durian dan Buah-buahan Tempatan bersama media di Pejabat FAMA Negeri Johor di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor (Operasi), Mohd Suffian Aizudin Mohd Saleh dan Timbalan Pengarah FAMA Negeri Johor, Norasidah Idris.

Menurut Zahari, FAMA akan mula menjemput pengusaha durian sekitar Tangkak, Muar dan Segamat untuk menjelaskan mengenai fungsi pusat pengumpulan itu yang mana mereka boleh menempatkan durian mereka yang banyak untuk dipasarkan serta diuruskan oleh FAMA.

“Kiranya, pengusaha durian ini ada tempat nak pasarkan ataupun nak kumpulkan durian, jadi FAMA akan ambil untuk diproses atau diuruskan, jadi tidak akan berlaku lambakan durian.

“Pusat ini akan sejuk bekukan durian yang dikumpul untuk dipasarkan sepanjang tahun, jadi apabila di luar musim durian yang banyak, pusat pengumpulan durian ini akan keluarkan buah ini di pasaran,” katanya.

Selain itu, katanya, dengan pusat pengumpulan durian itu, harga buah terbabit diharap dapat dikekalkan sama ada ketika berlaku lambakan atau ketika di luar musim durian.

Zahari (tengah) menunjukkan pelbagai buah durian semasa Sesi Santai Makan Durian dan Buah-buahan Tempatan bersama media di Pejabat FAMA Negeri Johor, Johor Bahru semalam.

“Kita bimbang apabila durian banyak, berlaku lambakan durian, harga akan jatuh tetapi, pusat ini akan beli semua durian, jadi mereka dah bincang berapa harga untuk dipersetujui antara pekebun dengan pengumpul.

“Tujuannya, bila durian tiada musim, pusat pengumpulan ini akan keluarkan durian jadi harga akan stabil sebab sekarang kalau orang jual durian di luar musim, harga mesti tinggi sebab durian tak banyak,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, keluaran durian bagi negeri ini adalah sebanyak 189,787 metrik tan membabitkan 19,179 hektar dengan 34,000 pengusaha durian besar dan kecil.

Bagi jumlah eksport pula, beliau berkata, sebanyak 13 juta kilogram durian dieksport ke luar negara bagi keseluruhan negara termasuk Pahang dan Perak yang mana 7.2 juta adalah jumlah eksport durian dari Johor.

“Untuk eksport ke Singapura, kebanyakannya dari Johor. Kita juga eksport ke China sebanyak 4.4 juta kilogram, manakala ke Hong Kong sebanyak 1 juta kilogram. Ini tiga negara terbesar yang kita eksport durian,” jelasnya.

Zahari berkata, antara varieti durian yang popular di Johor adalah Musang King, D13 atau durian kunyit, IOI, Tekka, Black Thorn, Kim Hong, durian kampung dan beberapa lagi jenis baharu.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast