Sebuah helikopter terbabit kemalangan semasa Latihan Operasi Maritim Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025 di Gelang Patah semalam

JOHOR BAHRU – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan melakukan siasatan terperinci berhubung kemalangan helikopter berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah dekat sini semalam.

MOSTI dalam satu kenyataan memberitahu, kerjasama penuh akan diberikan pihaknya serta memastikan semua aspek keselamatan diteliti secara menyeluruh.

“Kita akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam kejadian itu yang berlaku pukul 10.25 pagi, helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis AS355N terpaksa melakukan pendaratan kecemasan berhampiran jeti Sungai Pulai.

Semasa kejadian lima kru helikopter berkenaan termasuk juruterbangnya sedang mengambil bahagian dalam Latihan Operasi Maritim Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025.

Juruterbang dan empat penumpang yang berada dalam helikopter itu berjaya diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Semuanya kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dengan dua daripadanya dilaporkan parah.

MOSTI menjelaskan, insiden itu berlaku sewaktu latih amal MITSATOM 2025 yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) bersama-sama PDRM dan APMM.

Jelasnya, pasukan penyelamat yang turut berada di lokasi telah bertindak pantas menyelamatkan mangsa kejadian sejurus selepas insiden berlaku.

“Kesemua lima kru penerbangan telah berjaya diselamatkan dan sedang menerima rawatan,” katanya.

MOSTI memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Selain itu MOSTI ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamat dan memberikan bantuan segera di lokasi insiden.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast