GAZA – Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan seramai lapan kanak-kanakmaut ketika beratur untuk mendapatkan suplemen pemakanan di luar sebuah klinik kesihatan.
Mereka adalah antara 66 orang yang terbunuh dalam serangan udara Israel di wilayah Palestin itu pada Khamis.
Agensi tersebut berkata kanak-kanak itu adalah antara 17 mangsa dalam serangan di Deir el-Balah.
Menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), antara yang terkorban ialah seorang budak lelaki berusia setahun, yang menurut ibunya, baru sahaja menyebut perkataan pertama beberapa jam sebelum kejadian. Ibunya pula dilaporkan cedera parah.
“Tiada ibu bapa yang sepatutnya melalui tragedi seperti ini,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell dalam satu kenyataan.
“Pembunuhan keluarga yang sedang cuba mendapatkan bantuan menyelamatkan nyawa adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” tambahnya.
Badan amal berpangkalan di Amerika Syarikat, Project Hope, yang mengendalikan klinik tersebut, berkata mangsa ketika itu sedang menunggu klinik dibuka untuk mendapatkan rawatan kekurangan zat makanan, jangkitan dan penyakit. Organisasi itu menyatakan jumlah korban seramai 15 orang, termasuk 10 kanak-kanak dan dua wanita.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Rabih Torbay menyifatkan serangan itu sebagai “satu pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Yousef Al-Aydi, 30, adalah antara puluhan orang — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak — yang beratur ketika kejadian.
“Tiba-tiba kami terdengar bunyi dron semakin dekat, kemudian letupan berlaku,” katanya kepada AFP melalui telefon.
“Tanah bergegar di bawah kaki kami, dan sekeliling kami dipenuhi darah serta jeritan yang memekakkan telinga.”
Israel telah memperluaskan operasi ketenteraannya di Gaza, di mana perang telah menyebabkan keadaan kemanusiaan yang amat kritikal kepada lebih dua juta penduduk.
Tentera Israel memberitahu AFP bahawa mereka menyasarkan seorang militan Hamas di Deir el-Balah yang telah menyusup masuk ke Israel semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Mereka berkata, “kami kesal atas sebarang kemudaratan terhadap individu yang tidak terlibat dan sentiasa berusaha meminimumkan kerosakan sebanyak mungkin,” sambil menambah bahawa insiden itu sedang disiasat.
-‘Mati serta-merta’ –
Mohammed Abu Ouda, 35, yang turut berada dalam barisan di Project Hope, berkata: “Apa salah kami? Apa salah kanak-kanak itu?”
“Saya melihat seorang ibu sedang memeluk anaknya di atas tanah, kedua-duanya tidak bergerak — mereka mati serta-merta.”
AFP tidak dapat mengesahkan jumlah korban dan butiran kejadian secara bebas disebabkan sekatan media di Gaza.
Empat orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam satu lagi serangan udara awal pagi di sebuah rumah di kem Al-Bureij, Gaza tengah, kata pegawai agensi pertahanan awam, Mohammed al-Mughair.
Rakaman AFP dari Al-Bureij menunjukkan satu keluarga termasuk tiga anak kecil duduk di antara runtuhan berhampiran khemah usang mereka selepas serangan mengenai rumah bersebelahan.
Di tempat lain, tiga orang termasuk seorang wanita, terbunuh akibat tembakan tentera Israel ke arah orang awam berhampiran pusat bantuan di bandar selatan Rafah, menurut agensi pertahanan awam.
Lebih 600 orang telah terbunuh berhampiran lokasi agihan bantuan dan konvoi di Gaza sejak akhir Mei, ketika Israel mula membenarkan sedikit bekalan masuk, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu awal Julai lalu.
Kesatuan Eropah pada Khamis mengumumkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Israel untuk membuka lebih banyak laluan bantuan, membaiki infrastruktur dan melindungi petugas bantuan.
“Kami mengharapkan Israel melaksanakan setiap langkah yang telah dipersetujui,” tulis Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas di platform X.
Perang tercetus selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Serangan balas Israel telah meragut sekurang-kurangnya 57,762 nyawa rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengesahkan angka tersebut boleh dipercayai. -AFP
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















