JOHOR BAHRU – Sebanyak lapan kedai dan tiga kereta musnah dalam kebakaran di Taman Pandan di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syahhir Ikhwan Mohamad Shoib bagaimanapun berkata, tiada mangsa yang cedera atau melibatkan kemalangan jiwa kerana semua mangsa sempat menyelamatkan diri.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5 petang.
Susulan itu 35 anggota dari BBP Tebrau, BBP Johor Jaya, BBP Kempas, BBP Larkin, BBP Mount Austin dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dikejarkan ke tempat kejadian.
Mereka dibantu empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Light Fire Rescue Tender LFRT, dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua pacuan empat roda.
“Apabila pihak sampai di tempat kejadian dengan jarak lima kilometer terdapat lapan kedai struktur kekal berkeluasan 100X50 kaki terbakar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi memadam kebakaran mengalami kesukaran akibat tekanan air yang rendah dan maklum balas yang lambat daripada pihak Ranhilll SAJ.
Bagaimanapun pihaknya berjaya juga mengawal kebakaran daripada terus merebak pada pukul 6.45 petang.
Menurutnya, lima buah kedai musnah 90 peratus, dua buah kedai (70 peratus) dan sebuah kedai (50 peratus) manakala dua buah kereta Proton Wira dan sebuah Proton Saga turut musnah.
Tambahnya, kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan, operasi masih lagi berjalan sehingga pukul 8 malam ini.- MalaysiaGazette
















