MELAKA – Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan mencapai kesepakatan untuk menggesa usaha ke arah penubuhan negara Palestin dipercepatkan dengan sokongan bersama negara ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, desakan Malaysia secara kolektif itu membabitkan Jepun dan Korea Selatan yang bersama-sama dalam memperjuangkan hak rakyat negara bergolak itu amat penting.
Usaha itu tegasnya, adalah supaya tekanan terhadap masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dapat ditingkatkan.
“Resolusi kita ialah membawa usul tetap secara bersama-sama ASEAN sebagai satu blok bersama Jepun, Korea dan negara-negara lain yang sepemikiran supaya desakan terhadap penubuhan negara Palestin ini perlu disegerakan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Telok Mas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Senator Datuk Mustafa Musa.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, meskipun dua pertiga negara anggota PBB bersetuju dalam Perhimpunan Agung untuk menubuhkan negara Palestin, namun usaha itu masih gagal direalisasikan berikutan penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat dalam Majlis Keselamatan badan dunia itu.
“Saya juga beritahu Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio semalam selagi negara Palestin tidak ditubuhkan, tidak ada persetujuan penuh… dunia tak akan aman.
“Ini kerana di situlah punca segala-galanya terhadap kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengurus dan menyelesaikan rakyat Palestin yang telah lama teraniaya,” katanya.
AMM-58 yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai 2025 di Kuala Lumpur menghimpunkan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China, Turkiye dan Korea Selatan.
Ia bertujuan membincangkan isu serantau dan kerjasama antarabangsa merentasi pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan, pembangunan dan hubungan rakyat. – MalaysiaGazette
















