KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melahirkan keyakinan rakyat kekal mengharapkan UMNO untuk menjadi parti dominan dan terus memimpin sebagai kerajaan.
Ini kerana, kata Ahli Parlimen Lenggong berkenaan, rakyat ketika ini sudah melihat dan menilai pretasi parti-parti lain yang kini mempunyai pengalaman sama ada sebagai pembangkang mahu pun kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli UMNO menyusun strategi dalam tempoh masa berbaki beberapa tahun lagi menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi memastikan sokongan rakyat terhadap UMNO semakin meningkat dan kukuh.
Tambahnya, sebagai parti berteraskan Melayu, UMNO sentiasa dilihat ke hadapan dalam memperjuangkan serta mempertahankan kepentingan orang Melayu sebagai teras utama dalam memastikan sokongan pengundi.
Dalam masa sama, ujar beliau, fokus juga perlu diberikan kepada golongan pengundi muda khususnya yang berumur 30 tahun ke bawah yang disifatkan sangat berpengaruh dan mempunyai dinamika politik yang berbeza selari dengan perkembangan semasa.
“Kumpulan ini memperlihatkan perubahan pemikiran yang kritis, kritikal serta mempunyai tahap pendidikan tinggi dan kepelbagaian golongan ini menyebabkan kita memerlukan strategi khusus bagaimana untuk kita mendapatkan sokongan mereka,” katanya.

Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri ditemui MalaysiaGazette selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, demografik politik yang sentiasa berubah-ubah ketika ini juga memerlukan UMNO untuk bersedia berubah dan tidak hanya bergantung kepada satu pendekatan dalam mendekati rakyat.
Jelas beliau, ahli-ahli UMNO tidak boleh terikat dan kekal dengan cara politik lama dan seharusnya menjadikan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai pengajaran besar. – MalaysiaGazette
















