KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan Kolej Komuniti dalam kawasan bandar bagi memenuhi keperluan dan permintaan dalam kalangan anak muda di Parlimen Setiawangsa.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, institusi pengajian yang menawarkan program berasaskan kemahiran itu tidak terhad di kawasan luar bandar sahaja kerana keperluan pendidikan itu kian melonjak di kawasan bandar.
“Dari segi prinsip Kolej Komuniti dalam kawasan bandar itu ada, tetapi modelnya kita akan lihat dari segi keperluan di satu-satu tempat.
“Kita akan bawa perkara ini ke peringkat PolyCC atau Politeknik dan Kolej Komuniti bagi membuat penilaian ini.
“Paling penting untuk kita melihat dasar baharu sari segi keberkesanan Kolej-Kolej Komuniti dan memastikan supaya segala kursus yang dianjurkan dapat dilihat bagi memenuhi keperluan setempat,” katanya ketika ditemui pemberita di UTM Hotel & Residence, di sini, hari ini.

T
erdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa 2025.
Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata demikian mengulas usul Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa Datuk Seri Izudin Ishak yang memohon KPT mempertimbangkan cadangan membuka satu Kolej Komuniti dalam kawasan Parlimen Setiawangsa.
Selain itu, Zambry berkata, KPT perlu memastikan kursus-kursus yang ditawarkan Kolej Komuniti perlu berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan memberi laluan kerjaya selepas tamat pengajian.
“Selepas mereka mengikuti kursus di Kolej Komuniti, laluan itu diberikan untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di peringkat Politeknik sehingga ke universiti dalam bidang teknikal.
“Kita menyediakan satu laluan khas bagi mereka yang ingin mengikuti kursus-kursus dalam bidang teknikal. Kalau dulu mungkin mereka terpaksa untuk memohon ke universiti, ada yang dipanggil Universiti Teknikal.
“Tetapi hari ini kita membuka ruang bagi membolehkan mereka di Kolej Komuniti melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi berdasarkan kepada kelulusan dan kelayakan serta kursus-kursus yang mereka ikuti,” katanya.
Sementara itu, Zambry mengakui Kolej Komuniti bukan hanya menawarkan program kemahiran membuat “cup cake” sahaja, bahkan kini menawarkan kursus TVET yang seiring dengan keperluan semasa.
“Kolej Komuniti bukan sekadar buat program memasak itu dan ini, kemahiran itu diperlukan sebagai program sepanjang hayat bagi menyediakan peluang kepada masyarakat di kawasan pedalaman khususnya dalam meningkatkan kemahiran mereka.
“Kita juga nak menyediakan kepada anak-anak muda mereka yang berada di kawasan pedalaman supaya mempunyai kemahiran tertentu, kita cari ruang ini untuk mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















