KOTA TINGGI – Majlis Peguam Malaysia mempunyai hak dan tidak boleh dihalang untuk berarak dalam satu himpunan berhubung badan kehakiman yang dijadual diadakan esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua pihak mempunyai hak berhimpun atau berarak mengikut peruntukan yang dibenarkan Perlembagaan.
“Bagi saya itulah demokrasi. Itu hak mereka (Majlis Peguam) jika mereka nak berarak.
“Namun saya pasti selaku peguam yang kebanyakannya profesional, mereka maklum tentang Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.
“Akta JAC 2009 ini lebih kepada satu akta yang menepis, menilai serta mengatur nama-nama (kekosongan jawatan badan kehakiman)
“Akta ini lebih kepada cadangan-cadangan nama (hakim), dan bukan ‘finalization’ (kata pemutus),” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Selasa lalu, Majlis Peguam Malaysia dilaporkan akan menganjurkan Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence), yang dijadualkan diadakan esok.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab dilaporkan berkata, badan berkenaan akan menyerahkan memorandum dengan empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Tuntutan itu termasuk: mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman, dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.- MalaysiaGazette
















