KLUANG – Seorang pengarah syarikat perkakasan berputih mata selepas wang sejumlah RM829,705 lesap akibat terpedaya pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan melalui aplikasi dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun membuat laporan polis pada 10 Julai lalu selepas menyedari ditipu.
Katanya, semuanya bermula pada Mac lalu, selepas mangsa melihat iklan pelaburan dalam media sosial yang menawarkan kadar pulangan tinggi.
“Dia yang berminat kemudian diminta memuat naik satu aplikasi untuk menyertai pelaburan tersebut.
“Dalam tempoh 5 Jun hingga 9 Julai, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM829,705,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa pada mulanya mendapati terdapat keuntungan mencecah RM4.6 juta dalam aplikasi tersebut.
Namun apabila diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran mangsa enggan melakukannya.
“Mangsa akhirnya menyedari dirinya telah ditipu selepas tiada sebarang pulangan diterima,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan juga denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette















