JOHOR BAHRU – Tiga cedera termasuk seorang daripadanya tercampak dalam saliran air laut selepas dua motosikal kemalangan di hadapan Pejabat Pos Johor Bahru di Jalan Bazar Karat di bandar raya ini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba I Firdaus Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada pukul 9.49 malam.
“Susulan itu 16 anggota BBP Larkin dan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) BBP Skudai dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), tiga Rondaan Ikhtisas Mobil (RIM) dan satu pacuan empat roda dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yahama dan sebuah jenis lagi yang tidak dikenal pasti. Motosikal yang tidak dikenal pasti itu terjatuh dalam saliran air laut.
“Terdapat seorang mangsa terjatuh dalam saliran air laut. Ketiga-tiga mangsa cedera dan semuanya telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, sebelum itu pihaknya melakukan pencarian di lokasi sejauh 30 meter dan menyelam 12 kaki ke dasar sebanyak tiga kali untuk mencari mangsa.
Katanya, pihak bomba juga berjaya membawa naik motosikal Yamaha ke atas dan operasi ditamatkan hasil kerjasama dengan pihak polis.
Kes tersebut katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan kejadian tersebut.
“Setakat ini tiga mangsa terbabit kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















