Kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya pukul 4.30 petang hari ini bagi mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Pengerusi PH difahamkan akan memberi taklimat antaranya mengenai isu mengenai isu kehakiman baru-baru ini dan akan memberi berpeluang kepada ahli Parlimen mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.

Antara yang kelihatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ketika ini, PH memiliki seramai 82 ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan.

Jumaat lalu, seramai 30 ahli Parlimen BN turut menemui Anwar antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mendapatkan penjelasan isu yang sama.

Sebelum ini, sebanyak 19 ketua cabang PKR Johor menyeru supaya parti menggantung Ahli Parlimen PKR iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.

Ia susulan sidang media dibuat oleh kumpulan ahli Parlimen yang diketuai Rafizi yang turut menggesa satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diadakan susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk ketua hakim negara, yang menurut mereka telah mencetuskan krisis Perlembagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast