Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang lelaki direman sehari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini kerana disyaki memukul kepala dan muka adiknya sehingga giginya patah hanya kerana terlupa mengambil air minuman semalam.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari bermula hari ini sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi ketika mangsa yang merupakan adik suspek berusia 36 tahun sedang tidur di rumah mereka di Bukit Katil di sini sebelum suspek mengejutnya untuk mengambil minuman yang dibeli di mesin air.

“Pengadu bagaimanapun memberi alasan terlupa menyebabkan abangnya berang lalu mengambil sebatang kayu hoki dan memukul kepala serta muka sehingga mengakibatkan tiga batang giginya patah.

“Ayahnya cuba menghalang pergaduhan tersebut tetapi ditolak dan turut dipukul di tangan. Pengadu kemudian lari menyelamatkan diri apabila suspek mengugut untuk menikamnya,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini suspek juga pernah memukul pengadu tetapi adiknya itu tapi tidak diambil tindakan kerana memikirkan hubungan keluarga namun terpaksa membuat laporan polis semalam kerana tidak tahan dengan sikap suspek.

“Bertindak hasil daripada laporan, sepasukan polis menahan suspek yang bekerja sendiri di rumah di Bukit Katil semalam untuk mendapatkan permohonan reman hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast