KUALA LUMPUR – Bekas penjaga gol negara, Azizon Kadir dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan serius semalam.
Menerusi hantaran dan gambar dikongsikan laman Facebook HarimauMalaya, terdapat beberapa kesan luka kelihatan di tubuhnya namun tidak dapat dipastikan keadaan semasa Azizon selepas menerima rawatan.
“Dikhabarkan bekas penjaga gol kebangsaan, Azizon Kadir mengalami kemalangan jalan raya. Dia kini difahamkan berada dalam keadaan stabil di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Semoga diberikan kekuatan dan kesembuhan. Sama sama kita doakan, insya-Allah,” tulisnya.
Pada peringkat kelab pula, anak kelahiran Ipoh, Perak itu mewakili pelbagai pasukan seperti Negeri Sembilan, Sarawak dan Perlis dengan kelab terakhir diwakilinya merupakan Perlis pada 2016.
Ketika ini, Azizon masih bergiat aktif dalam dunia bola sepak apabila bergelar jurulatih penjaga gol buat akademi sekitar Lembah Klang seperti mana pernah dikongsikan orang ramai di media sosial. – MalaysiaGazette
















