Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) bercakap ketika sidang media berkaitan kejayaan tangkapan dan rampasan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 31 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil semua peserta yang hadir dalam program eHATI Love Intensive untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberi jaminan, pihaknya akan menyiasat secara teliti bagi mengenal pasti kewujudan sebarang elemen lucah atau ajaran yang menyimpang daripada norma masyarakat seperti yang didakwa pada program tersebut.

“Siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek dan dakwaan dapat dinilai dengan adil,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, kes tersebut kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalagan Kecil.

Semalam beliau mengesahkan pihaknya sudah membuka Kertas Inkuiri Polis (KEP) bagi mengenal pasti kesalahan jenayah berhubung program motivasi rumah tangga eHATI yang didakwa tidak bermoral.

Sementara itu, Hussein menasihati orang ramai supaya berwaspada dan berhati-hati menyertai program, aktiviti atau bengkel yang tidak jelas tujuan serta tidak diketahui latar belakang penganjurnya.

“Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan dan rujukan terlebih dahulu sebelum mengambil bahagian agar tidak terjebak dengan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang atau nilai moral masyarakat,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan program motivasi dan bimbingan berkenaan yang dikendalikan pasangan suami isteri didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.

Bekas ahli program itu menerusi Facebook mendedahkan ajaran terbabit berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.

Dia mendakwa, pasangan terbabit mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku Hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat dakwaan berlaku aktiviti tidak bermoral semasa penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu berkaitan doktrin palsu, kerana disyaki berlaku upacara atau perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini mengesahkan JAIS akan memanggil dua saksi baharu esok bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast