Mohd Jafni selepas sesi taklimat RPJ dan RKJ DUN Permai di Dewan Raya Putra, Kulai hari ini.

KULAI – Rumah Prihatin Johor (RPJ) dan Rumah Kasih Johor (RKJ) menyasarkan golongan B40 dan miskin tegar di Johor untuk memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, RPJ ditawarkan kepada mereka yang mempunyai tanah sendiri, tidak tersenarai dalam sistem eKasih dan berpendapatan isi rumah di bawah RM6,000.

“Kerajaan Negeri memberi subsidi sebanyak RM30,000 bagi setiap unit rumah dengan kos pembinaan antara RM66,000 hingga RM86,000.

“Sasaran kita ialah membina 500 unit rumah di bawah skim ini,” katanya dalam taklimat RPJ dan RKJ Dewan Undanan Negeri (DUN) Permai di Dewan Raya Putra di sini hari ini.

Taklimat itu dianjurkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Bukit Permai, Pejabat Daerah Kulai dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Katanya, fasa pertamanya melibatkan pembinaan 20 unit rumah di kawasan DUN Machap dan DUN Bukit Permai dengan jumlah subsidi keseluruhan yang diperuntukkan RM15 juta.

Bagi RKJ pula, katanya, ditawarkan kepada mereka yang tersenarai dalam sistem eKasih, dengan pendapatan per kapita isi rumah di bawah RM850, mengikut kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

“Program ini disediakan secara percuma kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Bagi tahun 2025, sebanyak 165 unit rumah akan dibina di seluruh Johor,” ujar beliau.

Mohd Jafni menekankan kedua-dua inisiatif itu bukan sekadar pembinaan rumah, tetapi satu usaha membina masa depan yang lebih sejahtera untuk rakyat Johor.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan memastikan setiap program perumahan dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh agar setiap warga yang layak menerima manfaat sewajarnya.

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap keluarga di Johor memiliki tempat tinggal yang selamat, selesa dan mampu dimiliki.

“Kita akan terus membawa program sebegini ke seluruh pelusuk negeri agar tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast