Pengerusi Eksekutif Capital A Berhad, Datuk Kamarudin Meranun bergambar bersama jemaah asnaf sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2025.

SEPANG – Impian 15 individu yang terdiri daripada golongan asnaf untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci menjadi kenyataan apabila mereka terpilih sebagai kumpulan pertama berlepas ke Mekah menerusi program ‘Umrah 1,000 Asnaf’ anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) hari ini.

Kumpulan jemaah istimewa itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) dengan tajaan penuh merangkumi kos pasport, vaksinasi, visa, penerbangan pergi dan balik bersama AirAsia serta pakej umrah lengkap dan selesa disediakan oleh ikhlas.com.

Reaksi jemaah semasa mendengar taklimat ketika diruang menunggu untuk memasuki balai pelepasan sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat sempena sambutan ulang tahun kelima penubuhannya dengan sasaran penajaan seramai 1,000 jemaah asnaf menjelang akhir musim umrah 1447 Hijrah tahun depan.

“Setakat ini, kami sedang menyusun jadual keberangkatan bagi kira-kira 200 jemaah asnaf untuk pelepasan seterusnya. Insya-Allah, kita akan capai sasaran menghantar 1,000 orang asnaf mengerjakan umrah.

“Kami juga mengalu-alukan penyertaan badan korporat yang ingin menyumbang kepada inisiatif ini dan berharap lebih ramai lagi golongan asnaf dapat dibantu untuk menunaikan ibadah umrah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Reaksi jemaah semasa mendengar taklimat ketika diruang menunggu untuk memasuki balai pelepasan sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2025.

Menurut Ikhlas, pemilihan jemaah dilakukan secara teliti dengan menilai ribuan pencalonan yang diterima daripada seluruh negara bagi memastikan mereka benar-benar layak menerima tajaan berkenaan.

Wartawan MalaysiaGazette, Mohd Zaini Samsu Hadi turut dijemput membuat liputan misi umrah yang julung kali diadakan itu.

Ahli keluarga menemani Jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 JULAI 2025.

Orang ramai masih boleh mengemukakan pencalonan bagi pihak individu asnaf yang layak melalui pautan https://ikhlas.com/ms/my/umrah-1000-asnaf untuk pertimbangan seterusnya.

Program Umrah 1,000 Asnaf itu juga seiring dengan misi ikhlas.com untuk memastikan ibadah umrah dapat diakses oleh semua umat Islam termasuk mereka yang kurang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Untuk rekod, ikhlas.com dilancarkan pada Oktober 2020 ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Ia merupakan platform gaya hidup dan kembara mesra Muslim yang menawarkan pelbagai kemudahan ibadah seperti zakat, sedekah, aqiqah, fidyah, korban serta perkhidmatan perjalanan Islamik lain dengan kerjasama AirAsia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast