JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket selepas menahan tiga suspek dan merampas RM3.5 juta pelbagai jenis dadah termasuk bunga ganja dalam lima serbuan di daerah ini minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan pada pukul 1.30 petang Khamis hingga 2.30 pagi Jumaat lalu.
“Dalam serbuan tersebut seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia 32 hingga 39 tahun ditahan bersama-sama rampasan dadah,” katanya dalam sidang media hari ini.
Polis merampas 20,707 gram serbuk ekstasi bernilai RM3,458,069; 18,494 gram ganja (RM58,331); 154.25 gram ketamin (RM30,850) dan 141 gram pil eramin 5 (RM10,000),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kata Kumar, pihaknya turut merampas alat memproses dan membungkus semula dadah selain menyita wang tunai RM800.
Beliau memberitahu, jumlah nilai rampasan dadah RM3,556,250 dan sekiranya bahan terlarang itu terlepas ke pasaran boleh digunakan 88,788 penagih.
Hasil saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod lampau.
Modus operandi sindiket itu menjadikan bilik sewa dan kondominium yang berpagar serta berpengawal sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Semua suspek ditahan reman sehingga 6 Julai ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukin mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan sebatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















