MELAKA – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik datuknya, Mei lalu.
Tertuduh, Izhan Syahmi Izhar Shapawi, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Difahamkan tertuduh menggunakan kad ATM datuknya itu untuk berjoli termasuk membeli barangan alat ganti motosikal dan barang kemas melibatkan jumlah keseluruhan sekitar RM20,000.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri sekeping kad debit ATM Agrobank milik Ahmad Jantan, 71, di sebuah rumah beralamat di Solok Setulang Daing, Bukit Rambai pada pukul 1.30 petang 30 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya dihendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu anak guamnya diberikan jaminan rendah memandangkan ia adalah kesalahan pertama tertuduh yang masih muda selain ibu anak guamnya hadir sebagai penjamin.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan tarikh 16 Ogos ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazett
















