BUTTERWORTH – Dua lelaki nyaris maut selepas sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Teluk Air Tawar, berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, hari ini.
Insiden turut menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir dua jam hingga ke Permatang Binjai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.23 pagi sebelum tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
“Kejadian melibatkan pokok tumbang menghempap sebuah kereta jenis Toyota Estima dan sebuah motosikal Yamaha 135 LC.
“Penunggang motosikal, Muhammad Arif Hafiz Rosli, 21, cedera ringan di bahagian kaki selepas dipercayai melanggar pokok tumbang itu manakala pemandu kereta, Roszailullail Ahmad Yazi, 59, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, operasi pemotongan pokok dilakukan menggunakan peralatan khas dan turut dibantu agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba TUDM serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Kerja-kerja pemotongan selesai sepenuhnya pada jam 9.19 pagi dan kawasan diserahkan kepada pihak MBSP untuk tindakan susulan,” katanya. – MalaysiaGazette
















