KUANTAN – Berbekalkan sebuah van, seorang peniaga buah di sini mampu menjana pendapatan bagi menyara keluarga sejak dua tahun lalu.
Bagi peniaga buah, Zakaria Ibrahim, 61, penggunan van buah bergerak lebih praktikal dan mudah berbanding kedai fizikal.
”Kalau naik van boleh berhenti mana-mana boleh buka bonet dan jual buah kepada pelanggan. Sudah susun siap-siap lebih mudah, buah pun tidak mudah rosak.
”Dengan usia saya sekarang, sudah tak mampu angkut meja buka kanopi. Kita orang tua tak larat,” kataya ketika ditemui di Pasar Besar Kuantan hari ini.
Zakaria mula berniaga sejak tahun 1996 itu berkongsi pengalaman melakukan perlbagai jenis perniagaan untuk menyara hidup.
Bekas pesara Jabatan Penjara yang berpencen awal itu turut mengakui pernah menyewa tapak kanopi RM10 sehari dan mula berjinak dengan perniagaan buah-buahan sejak zaman pandemik Covid-19 lalu.
Kini beliau mendapat bekalan buah daripada peraih di sini yang mendapat stok di Kuala Lumpur dan Johor termasuk dari negara jiran, Thailand.
Menurutnya, sepanjang musim buah manggis pada kali ini beliau mampu menjual 80 kilogram sehari dengan jualan RM10 hingga RM12 sekilo.
”Bekalan buah banyak ambil dari Johor tapi agak mahal jadi ambil dari Thailand sebab tak putus buah. Kalau dulu harga rambutan baru keluar RM25 sekilo sekarang RM12, tengok pada musim.
”Sambutan jualan buah sekarang baik cuma tak menentu sebab menjual tak macam dulu tak tahu, jadi bersyukurlah masih ada rezeki,” katanya. – MalaysiaGazette
















