
TAHUN 1917 dunia menyaksikan Revolusi Rusia meletus. Pada tahun yang sama, datuk saya lahir di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu Johor adalah salah sebuah negeri Naungan British.
Ketika datuk saya berusaha 8 tahun, iaitu pada tahun 1925, Tun Dr Mahathir Mohamad lahir di Alor Setar, Kedah. Ketika itu Kedah juga sudah menjadi negeri naungan British.
Pada tahun 1938, ketika datuk saya berusia 21 tahun, bapa saya lahir. Pada masa itu Dr Mahathir berusia 13 tahun dan bersekolah di Government English School (GES) Alor Setar.
Pendidikan Dr Mahathir terganggu apabila Jepun menakluk Malaya pada tahun 1941. Ketika itu beliau beruda 16 tahun. Datuk saya pula berusia 24 tahun dan bapa saya berusia 3 tahun.
Siam sedia bekerjasama dengan Jepun. Sebagai balasannya, Jepun menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam yang menamakan Kedah sebagai Saiburi.
Pada Julai 1945. sebuah pertubuhan politik dan ekonomi, Syarikat Bekerjasama Am Saiburi (Saberkas) ditubuhkan. Dr Mahathir yang berusia 20 tahun turut menyertainya. Ketika itu Datuk saya pula berusia 28 tahun dan bapa saya berusia 7 tahun.
Jepun berundur dari Malaya pada September 1945. British kembali mentadbir pada tahun 1946 dan menubuhkan Malayan Union. Saberkas menyertai UMNO untuk menentang Malayan Union. Dr Mahathir pun menjadi ahli UMNO ketika usia 26 tahun.
Tamat Pengajian
Pada tahun itu juga, Dr Mahathir menyambung pelajarannya. Beliau tamat pengajian pada tahun 1953 dan berkhidmat dengan hospital kerajaan di Kedah. Pada masa itu beliau berusia 28 tahun. Sementara datuk saya berusia 36 tahun dan bapa saya berusia 15 tahun.
Pada tahun 1953, Darurat sudah berlangsung enam tahun. Datuk saya berusia 40 tahun dan bapa saya berusia 19 tahun. Beliau menyertai Askar Melayu Diraja
Negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan pada tahun yang sama Dr Mahathir membuka Klinik Maha dan menjadi doktor Melayu pertama membuka klinik persendirian di bandar itu.. Beliau dikenali sebagai “Doktor UMNO”. Ketika itu beliau berusia 32 tahun.
Pada tahun 1959, negara mengadakan pilihan raya umum pertama selepas merdeka. Dr Mahathir mengemukakan cadangan ciri-ciri seseorang yang patut ada untuk menjadi calon pllihan raya. Beliau enggan menyertai pilihan raya itu kerana Tunku Abdul Rahman memilih calon-calon yang mempunyai hubungan dengannya walaupun tidak layak. Pada tahun juga itu saya lahir. Datuk saya ketika itu berusia 47 tahun dan bapa saya berusia 21 tahun.
Darurat berakhir pada tahun 1960. Bapa saya diberhentikan kerja daripada askar kerana tiada keperluan lagi bagi negara. Setelah berkhidmat dalam pasukan pendamai Pertubuham Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Congo, beliau pulang ke kampung. Mula-mula berniaga jual air minuman tetapi kemudian menjaga kedai runcit. Ketika itu saya berusia setahun.
Tetapi pada tahun 1964, Indonesia melancarkan konfrontasi ke atas Malaysia. Bapa saya dipanggil balik untuk menyertai tentera.
Pilihan Raya
Pada tahun yang sama, pilihan raya umum diadakan dan Dr Mahathir bertanding dan memenangi kawasan Parlimen Kota Setar. Ketika itu beliau berusia 39 tahun. Datuk saya pula berusia 47 tahun dan bapa saya berusia 24 tahun. Saya berusia 5 tahun.
Tetapi dalam pilihan raya umum tahun 1969, Dr Mahathir kalah di Kubang Pasu. Peristiwa 13 Mei juga berlaku. Pada Jun 1969, Dr Mahathir menulis surat terbuka kepada Tunku mengkritik Perdana Menteri. Dr Mahathir tulis buku The Malay Dilemma tetapi diharamkan Tunku. Beliau dipecat dari UMNO.
Bapa saya menyokong Dr Mahathir. Hari-hari beliau membeli surat khabar Utusan Melayu dan menggunting keratan akhbar jika ada gambar dan berita mengenai Dr Mahathir dan menyuruh saya menampal dalam buku skrapnya.. Ketika itu saya berusia 10 tahun dan itulah buat pertama kali saya mengetahui mengenai Dr Mahathir.
Bapa saya ketika itu bersiia 31 tahun dan kerana kagumnya beliau pada Dr Mahathir, adik saya yang lahir semasa perintah berkurung masih berkuat kuasa di Kuala Lumpur telah dinamakannya Mahathir. Malangnya adik saya itu meninggal dunia pada tahun 1970.
Saya mula membaca mengenai Dr Mahathir di akhbar ialah pada tahun 1973 ketika saya tingkatan 2 dan mula celik politik. Ketika itu Dr Mahathir adalah Menteri Pelajaran. Pada tahun 1974, Dr Mahathir menghadapi demonstrasi pelajar besar-besaran. Ketika itu Dr Mahathir berusia 49 tahun.
Pada tahun 1976 saya membaca buku Dr Mahathir bertajuk Menghadapi Cabaran. Di penghujung tahun itu juga saya pergi ke Singapura dan membaca buku The Malay Dilemma di kedai MPH. Pada masa itu buku itu masih diharamkan di negara ini.
Semasa di kampus, saya memihak pada UMNO dan kerajaan dengan menyokong pemahaman politik yang dibawa oleh Dr Mahathir yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri. Pada tahun 1980, buat pertama kalinya saya berjumpa dan berbual dengan beliau dalam majlis berbuka puasa di rumah. Pada masa itu beliau berusia 54 tahun dan saya berusia 21 tahun.
Dilantik Perdana Menteri
Pada tahun 1981, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketika beliau berusia 55 tahun.
Pada tahun 1982 saya menjadi pemberita politik untuk akhbar Utusan Melayu dan Utusan. Maka seringlah saya membuat liputan acara-acara dan sidang akhbar Perdana Menteri sama ada yang melibatkan parti atau kerajaan.
Bapa saya bersara pada tahun 1983 dan menyertai politik akar umbi UMNO. Beliau menjadi Ketua Cawangan dan menghadiri Persidangan Agung UMNO setiap tahun. Bapa saya sentiasa menjadi penyokong Dr Mahathir ketika mana beliau menyandang jawatan presiden. Beliau memihak pada Dr Mahathir ketika mana berlaku perbalahan politik beliau dengan Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim.
Saya pernah membuat liputan lawatan rasmi Dr Mahathir ke lima buah negara Eropah pada tahun 1984. Semasa pilihan raya umum tahun 1986, saya turut membuat liputan kempen beliau ke Pulau Pinang dan Sarawak.
Pada tahun 2003, sehari sebelum Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatamnya, saya ada mewawancara beliau untuk Mingguan Malaysia. Bapa saya telah membesarkan gambar saya bersama Dr Mahathir ketika interviu itu, membuat bingkai untuknya dan mempamerkannya pada dinding rumahnya.
Walaupun Dr Mahathir sudah bersara, hampir setiap tahun saya ikut serta menginterviu beliau untuk Mingguan Malaysia.
Pada tahun 2008, datuk saya meninggal dunia di usia 91 tahun. Bapa saya pula berusia 70 tahun dan ketika itu masih aktif dalam UMNO pada peringkat akar umbi. Saya pula berusia 49 tahun dan masih bersama Kumpulan Utusan. Dr Mahathir yang berusia 83 tahun ketika itu adalah Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Bapa saya turut aktif di peringkat cawangannya.
Pada tahun 2015, saya sudah tidak bekerja . Dr Mahathir keluar UMNO dan menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mulai detik itu, bapa saya tidak lagi menyokong Dr Mahathir. Beliau menyokong Najib. Ketika itu bapa saya berusia 77 tahun, Dr Mahathir berusia 90 tahun dan saya berusia 56 tahun.
Barisan Nasional
Saya pula memenuhi permintaan seorang aktivis Parti Amanah Negara, Ahmad Lutfi Othman untuk menulis satu rencana dalam buku Mengapa Mahathir bagi menghujahkan supaya rakyat menyokong beliau dipilih semula menjadi Perdana Menteri.
Pada tahun 2018, bapa saya amat sedih apabila Barisan Nasional kalah. Beliau merasa lega sedikit apabila saya kata kerajaan PH ini akan tahan sepenggal saja dan BN akan kembali ke dalam kerajaan. Bapa saya meninggal dunia pada tahun 2019 dan tidak sempat melihat kerajaan PH tumbang. Ketika itu beliau berusia 81 tahun, dan saya berusia 59 tahun.
Pada 10 Julai 2025, Dr Mahathir menyambut ulang tahunnya yang ke-100, masih boleh bercakap dan berfikir. Saya pula berusia 66 tahun tetapi tidak begitu sihat walaupun masih boleh menulis.
— ZIN MAHMUD mantan Pengarang akhbar Mingguan Malaysia.
















