Kereta Perodua Axia ditemui terbenam dalam Sungai Kampung Tui di Jalan Bukit Kepong, Jambatan Kampung Kecil, Pagoh, Muar semalam.

 

MUAR – Seorang pempengaruh permotoran dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Axia putih dipandu terbabas dalam Sungai Kampung Tui di Jalan Bukit Kepong, Jambatan Kampung Kecil, Pagoh di sini semalam.

Mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah, Johor Bahru pada pukul 12 tengah hari.

Isteri mangsa berkata, Tengku Nizaruddin memaklumkan kepadanya mahu ke bengkel rakannya di Parit Jawa di sini.

Menurut wanita berkenaan, mereka sempat berhubung sehingga pukul 4 petang semalam sebelum suaminya itu tiba-tiba tidak lagi dapat dihubungi.

Pihak keluarga katanya, kemudian menghubungi suaminya melalui telefon bimbit tetapi gagal selain menggunakan sistem posisi sejagat (GPS) untuk mengesannya dan mendapati kedudukan terakhir adalah di Jalan Bukit Kepong-Labis.

“Saya bimbang kerana suami pernah mengalami serangan jantung ketika memandu sebelum ini. Usaha menghubunginya selepas pukul 4 petang langsung tidak berjaya,” katanya dalam laporan polis yang dibuat hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.22 petang tadi.

“Susulan itu seramai tujuh anggota dari BBP Pagoh dan BBP Muar dibantu satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta satu pacuan empat roda dikejarkan ke tempat kejadian pada jarak 39 kilometer.

“Maklumat awal daripada pihak polis memaklumkan kemalangan ini mungkin berlaku semalam dan terdapat seorang lelaki dewasa hilang dipercayai pemandu kereta itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, kerja-kerja mencari mangsa masih lagi dilakukan sehingga kini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast