KUALA LUMPUR – Pengasas bersama motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn Bhd (eHati), Diyana Tahir dan Rahim Shukor ditahan polis hari ini selepas mereka memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan penahanan pasangan terbabit berkata, beberapa tindakan akan diambil.
“Untuk makluman, pengasas program terbabit bersama suaminya telah ditahan, maklumat lanjut akan menyusul selepas beberapa tindakan diambil.
“Kita juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk serbuan dan tangkapan berhubung kes ini,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Terdahulu, New Straits Times melaporkan peguam, Datuk M Reza Hassan berkata, penahanan ke atas anak guamnya dibuat oleh IPD Shah Alam selepas keterangan diambil.
Beliau berkata, kedua-dua anak guamnya itu ditahan mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Sebelum ini media melaporkan, polis menerima laporan berkaitan program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor pada September lalu.
Mohd Iqbal dilaporkan berkata, semakan mendapati laporan itu dibuat seorang ejen insurans berusia 39 tahun yang merupakan suami kepada salah seorang peserta program tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, satu siasatan terperinci akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil. – MalaysiaGazette
















