Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki terbaring atas jalan selepas melanggar belakang kereta peronda polis di Lebuhraya Utara-Selatan, Kulai, semalam.

KULAI – Seorang penunggang motosikal patah tangan melanggar kereta peronda polis yang sedang melakukan pemeriksaan sebuah van di Kilometer 37.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 4.07 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR, kereta peronda polis jenis Proton Inspira dan sebuah van.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta peronda tersebut berhenti di lorong kecemasan kerana sedang membuat pemeriksaan sebuah van.

“Kemudian datang ditunggang lelaki tempatan berusia 21 tahun telah melanggar bahagian belakang kereta peronda itu yang sedang berhenti di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akibat kemalangan itu katanya, mangsa tercampak ke tengah jalan dan mengalami kecederaan patah tangan kanan.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini bagi menerima rawatan.

Sementara anggota polis yang memandu kereta peronda tersebut katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD, Kulai, bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast