Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyantuni Putri Qisya Nur Izzat, 12 yang kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi di Sungai Korok selepas menyampaikan Bayaran Tuntutan Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru, Kedah. Foto MALAYSIAGAZETTE, 15 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Anak sulung mangsa tragedi Sungai Korok, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, disahkan layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hasil caruman Allahyarham bapanya.

Hasil semakan dan penelitian Perkeso, Mohamad Azim Izat Ishak, 31, yang terkorban dalam nahas berkenaan merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), dengan rekod pekerjaan terakhir sebagai pengawal keselamatan.

“Menerusi caruman itu waris yang merupakan anak sulung, Putri Qisya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta Pencen Penakat bulanan berjumlah RM576.25 sehingga berusia 21 tahun atau hingga tamat ijazah pertama.

“Perkeso menzahirkan rasa simpati dan dukacita yang mendalam atas kejadian menyayat hati ini dan kekal komited untuk memastikan kebajikan waris mangsa terus terpelihara.

“Justeru, bantuan tambahan termasuk intervensi pendidikan, penjagaan emosi dan psikososial sedang diperinci menerusi Program Sinergi Sosial demi memastikan anak sulung arwah mendapat sokongan jangka panjang sewajarnya,” menurut Perkeso dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast