PUTRAJAYA -Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik empat buah syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khusus bagi pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian (M.V.15).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata ia susulan perluasan inisiatif pemeriksaan tersebut yang bertujuan meningkatkan persaingan sihat dan peralihan sistem konsesi selain mengurangkan kesesakan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) seperti yang diumum sebelum ini.
“Inisiatif ini dijangka akan memudahkan orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan tanpa perlu bersesak di PPKM sedia ada yang turut melaksanakan pemeriksaan berkala kenderaan berat,” katanya ketika sidang media.
Empat syarikat yang telah menerima tawaran bersyarat hari ini adalah Carro Technology Sdn. Bhd; Carsome Academy Sdn. Bhd; Wawasan Bintang Sdn. Bhd dan Beriman Gold Sdn. Bhd.
Terdahulu katanya, sebanyak tujuh buah syarikat ditawarkan melaksanakan perkhidmatan tersebut namun hanya empat sahaja yang menerimanya.
“Memandangkan ada di antara syarikat yang ditawarkan ini turut menjalankan aktiviti lain seperti jual beli kenderaan terpakai, pihak syarikat disyaratkan untuk menyediakan ruangan/lorong pemeriksaan serta kakitangan khas bagi tujuan pengoperasian PPKM M.V.15 tertakluk kepada standard ISO/IEC 17020:2012 Conformity Assessment Requirements for the Operation of Various Types of Bodies Performing Inspection,” katanya lagi.
Menurutnya, kesemua syarikat tersebut boleh menyediakan premis pemeriksaan di seluruh negara.
Mengulas lanjut katanya, syarikat yang berkenaan perlu mematuhi syarat dalam Garis Panduan Pemberian Lesen Pengoperasian PPKM Bagi Melaksanakan Pemeriksaan Tukar Milik (M.V.15) Kenderaan Motor Persendirian.
“Syaratnya adalah Keupayaan syarikat yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM1 juta, berstatus Sendirian Berhad dan pemilikan tempatan; mengemukakan cadangan lokasi untuk pertimbangan tertakluk kepada kelulusan MOT/JPJ; menyediakan infrastruktur yang merangkumi pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan, integrasi dengan sistem MySIKAP dan keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Dan memastikan Pemeriksa Kenderaan Motor (PKM) mendapat pentauliahan berkompetensi oleh pihak JPJ sebelum boleh memulakan tugas,” katanya lagi.
Ujarnya, lesen operasi hanya akan diberikan selepas semua syarat dipenuhi dalam tempoh 12 bulan.
“Tapi ada syarikat juga yang menyatakan kemampuan sediakan premis mereka dalam tempoh tiga bulan sahaja,” katanya lagi.
Sementara itu, Anthony berkata MOT mempertimbangkan melaksanakan pemeriksaan kepada motosikal sebelum proses tukar hak milik.
“Sekarang pemeriksaan untuk motosikal tidak diwajibkan tetapi kita akan lihat keperluan sebab mengapa kita nak buat pengesahan ini.
“Ini untuk memastikan bukannya motosikal tercuri yang ditukar hak milik. Sebab ada yang terbeli motosikal yang dicuri, itu risikonya.
“Kita akan lihat keperluan,” Anthony berkata.-MalaysiaGazette
















