Operasi mencari Tengku Nizaruddin yang masih hilang diperluaakan sekitar Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, Pagoh, Muar, hari ini.

MUAR – Pihak bomba meluaskan operasi pencarian Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang masih hilang selepas kereta dipandunya ditemui terjunam dalam Sungai Tui di Jalan Bukit Kepong, Pagoh di sini petang kelmarin.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba 2 Norshuhada Amsari berkata, operasi hari kedua pada hari ini yang dimulakan pukul 8.50 pagi tadi, diperluaskan sehingga radius 10 kilometer.

Operasi hari ini membabitkan seramai tujuh anggota Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan 11 anggota termasuk tiga pegawai dari BBP Pagoh.

Turut serta dalam operasi pencarian seramai satu pegawai dan 26 anggota termasuk seorang pegawai polis.

“Selain pencarian menggunakan bot polis dan bomba di sungai berkenaan, operasi pencarian di darat turut dijalankan,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan kehilangan Tengku Nizaruddin yang juga pempengaruh permotoran selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya ditemui di dasar sungai berkenaan.

Bagaimanapun mangsa yang merupakan pempengaruh permotoran dan dikenali sebagai Ija tidak berada dalam kenderaannya itu.

Sebelum kejadian mangsa bersama-sama adik lelakinya Tengku Abdul Aziz, 30, bergerak secara berasingan dari Johor Bahru ke Muar bagi urusan perniagaan kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

Kali terakhir mangsa berhubung dengan ahli keluarganya kira-kira pukul 4 petang hari sama sebelum mangsa yang dalam perjalanan ke bengkel kawannya di Parit Raja gagal dihubungi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast