JOHOR BAHRU – Sebuah bas merempuh tiga kenderaan akibat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) menukar lorong secara mengejut di Tambak Johor menghala Singapura hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pukul 11.19 pagi apabila SUV jenis BYD berwarna kelabu menukar lorong secara mengejut ke laluan bas.
“Keadaan ini menyebabkan pemandu bas gagal mengelak dan melanggar bahagian tepi SUV tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, SUV terbabit hilang kawalan lalu terbabas melanggar dua kereta dari Singapura yang berada di lorong kiri.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan semua pihak terlibat telah tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Kaedah 6(1) LN 166/59 di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan iaitu kesalahan memotong secara berbahaya.
Mereka yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















