KUALA LUMPUR – Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan pelantikan MMSB Consult Sdn Bhd sebagai Jurutera Perunding Bebas bagi projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara.
Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, pelantikan dibuat melalui tender terbuka dan disusuli dengan proses penilaian yang menyeluruh.
Skop kerja merangkumi semakan menyeluruh terhadap fasa reka bentuk, pembinaan, pengujian & pentauliahan, serta operasi & penyelenggaraan, bagi memastikan pematuhan terhadap semua keperluan projek, piawaian dan peraturan yang berkaitan.
“Pelantikan ini mencerminkan kemajuan positif Laluan Mutiara ketika projek ini beralih daripada peringkat persediaan ke fasa kesiapsiagaan pembinaan,” katanya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/07/17/kerja-pembinaan-lrt-laluan-mutiara-kini-bermula-kon-yeow/
Sementara itu, Pakej Kontrak Utama Awam 1 yang dianugerahkan kepada SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) telah berkuat kuasa pada 23 Jun 2025, selepas mereka memenuhi syarat-syarat utama kontrak.
Seterusnya, SRS turut memenuhi beberapa keperluan tambahan pelaksanaan projek, yang membolehkan Notis Untuk Mula Kerja (Notice to Proceed – NTP) dikeluarkan pada 15 Julai 2025. Dengan pengeluaran NTP ini, kerja-kerja di bawah Pakej 1 dijangka dipercepatkan.
Sebelum pengeluaran NTP, beberapa aktiviti awal telah pun dimulakan, termasuk penyiasatan tanah, ujian cerucuk, tinjauan keadaan prapembinaan, serta pemantauan instrumentasi dan alam sekitar di lokasi-lokasi terpilih sepanjang jajaran.
Projek tersebut masih berada di landasan yang betul untuk memulakan kerja-kerja awal pada Ogos 2025, melibatkan aktiviti utama seperti pemindahan utiliti, kerja cerucuk, dan penubuhan tapak. Kerja-kerja pembinaan awam berskala besar dijangka bermula pada suku keempat tahun 2026. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















