MUAR – Bomba menggunakan dron untuk mencari Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang dalam Sungai Tui, Bukit Kepong sejak Isnin lalu.
Ketua Bomba Zon 4, Penguasa Kanan Bomba II Nor Shuhada Amsari berkata, pencarian pempengaruh permotoran itu yang lebih dikenali sebagai Ija dimulakan pada pukul 8.30 pagi tadi.
“Pencarian hari ini diteruskan dalam radius yang sama iaitu 10 kilometer.
“Setakat ini arus deras di sungai tetapi ada pokok tumbang di aliran sungai yang menghalang laluan bot penyelamat untuk melakukan operasi pencarian.
“Selain pencarian menggunakan bot, pihak bomba turut menggerakkan aset udara iaitu satu unit dron bagi mendapat gambaran lebih luas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu katanya, Pasukan Polis Marin (PPM) dari Panchor akan ke Bukit Kepong untuk masuk ke Sungai Kampung Tui melalui kuala sungai dalam operasi itu.
Nor Shuhada berkata, operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga itu belum menemukan sebarang petunjuk.
Ujar beliau, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bomba terus melakukan selaman bagi mengesan mangsa.
Pihak polis katanya, turut membawa anjing pengesan Unit K9 dari Johor Bahru bagi menyertai misi pencarian dan menyelamat.
Pada Selasa, portal ini melaporkan kehilangan Ija selepas kereta jenis Perodua Axia warna putih dipandunya terjunam dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun, Ija tidak ditemui dalam kenderaannya dan operasi mencari masih diteruskan sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, setakat ini diklasifikasikan sebagai orang hilang.- MalaysiaGazette
















