Satu daripada enam ekor gajah yang berjaya ditangkap dalam Operasi Bersepadu Translokasi Gajah di Kampung Pinggir, Kluang hari ini.

KLUANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap enam ekor gajah liar di sekitar Kampung Pinggir, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, semua gajah itu ditangkap setakat pukul 2 petang tadi dalam Operasi Bersepadu Translokasi Gajah yang dijalankan pihak Perhilitan.

“Operasi ini yang bermula sejak 14 Julai lalu di Dewan Komuniti Dato Onn, Rumah Orang Sembrong digerakkan susulan aduan penduduk berkaitan gangguan gajah liar di Kampung Sri Lukut.

“Gajah-gajah yang ditangkap merupakan kumpulan dikenali sebagai ID Taman Negara dan ada antaranya mencecah ketinggian dua meter.

“Haiwan ini dikenal pasti sering menimbulkan konflik sejak kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tian Soon berkata, operasi tangkapan masih diteruskan Unit Translokasi Gajah (UTG), Perhilitan Johor dan Semenanjung.

Kelmarin Perhilitan Johor memaklumkan akan melaksana Operasi Bersepadu Translokasi Gajah secara besar-besaran membabitkan 25 gajah bermula bulan ini hingga Julai tahun hadapan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, langkah strategik itu bagi menangani isu konflik gajah dan manusia secara menyeluruh dan berkesan, dengan Johor menjadi negeri pertama lokasi operasi berkenaan.

“Operasi ini bertujuan mengurangkan konflik gajah secara sistematik di lokasi berisiko tinggi, mengenal pasti dan memindahkan kumpulan gajah yang aktif mengganggu kawasan pertanian, kampung dan kawasan perumahan.

“Selain itu, ia bertujuan memulihkan ekosistem melalui kawalan populasi di luar habitat asal dan pengumpulan data saintifik untuk penambahbaikan dasar pengurusan gajah liar,” ujar Abdul Kadir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast