JOHOR BAHRU – Pencapaian Johor dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan merekodkan jumlah pelaburan tertinggi dalam negara tidak seindah atau tidak gah seperti didakwa. .
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Johor Bahru, Iman Aizat Azhar berkata, sedangkan realiti sebenar di lapangan adalah pahit
Jelasnya, Johor digambarkan sebagai negeri paling pesat membangun, mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 6.4 peratus tertinggi di Malaysia bagi 2024.
Bukan itu sahaja katanya, negeri ini juga didakwa merekodkan jumlah pelaburan tertinggi dalam negara iaitu sebanyak RM30.1 bilion bagi suku pertama tahun 2025.
“Namun di sebalik pesta angka-angka mewah ini, persoalan besar timbul, apakah manfaat sebenar yang rakyat kebanyakan nikmati?
“Laporan baru-baru ini mendedahkan bahawa Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita rakyat Johor masih di bawah purata kebangsaan yang jelas membuktikan realiti pahit bahawa limpahan ekonomi masih belum dirasai oleh majoriti rakyat.
“Realitinya, ramai pekerja tempatan masih terperangkap dalam sektor tidak formal, menerima gaji rendah malah ada yang dibayar di bawah paras gaji minimum di Johor.
“Lebih membimbangkan, Johor juga sedang berdepan fenomena brain drain di mana tenaga mahir tempatan berhijrah bekerja ke negara jiran kerana tidak mendapat peluang setimpal di tanah sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jurang pembangunan antara daerah pula semakin melebar, contohnya Johor Bahru berkembang pesat namun Kota Tinggi, Mersing dan Segamat terus tertinggal dan tercicir.
Beliau mempersoalkan apa gunanya angka-angka besar yang diumumkan jika rakyat luar bandar terus terpinggir daripada arus pembangunan.
“Kami menghargai kejujuran Menteri Besar Johor yang mengakui baru-baru ini menerusi satu laporan, bahawa tekanan inflasi, kenaikan harga makanan dan kadar sewa semakin menekan rakyat.
“Jika tidak ditangani secara serius, jangan terkejut kalau akhirnya ekonomi Johor lebih menguntungkan negara jiran berbanding rakyat sendiri,” jelasnya.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi tidak boleh lagi dijadikan ‘kayu pengukur kemajuan’ mahupun alasan menutup kelemahan dalam pengagihan manfaat kepada rakyat.
Justeru katanya, Armada Bersatu Johor mendesak Menteri Besar Johor agar segera menyemak semula dasar dan mekanisme agihan ekonomi.
Arah tuju pembangunan negeri ini katanya, mesti disusun semula agar lebih adil, saksama dan menyeluruh supaya tiada rakyat yang tercicir dalam arus kemajuan.
“Jangan biarkan yang kaya terus mengaut, sementara yang miskin terus terhimpit,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















