TANGKAK – Seorang surirumah tidak lena tidur selepas wang simpanan miliknya RM26,060 lebur selepas menyertai satu peraduan cabutan bertuah dalam aplikasi ‘TikTok’ pada awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 55 tahun mengikuti satu iklan dalam aplikasi TikTok pada 8 Julai lalu.

“Iklan dalam aplikasi ‘TikTok’ itu menjanjikan keuntungan ratusan ribu ringgit. Berminat dengan tawaran itu mangsa membuat pertanyaan.

“Suspek kemudian menghubungi mangsa sebelum berjaya mempengaruhi mangsa dengan mengarahkannya untuk berhubung melalui satu nombor ‘whatsapp’ yang diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa kemudian melakukan 12 transaksi secara berperingkat-peringkat bermula dari 8 sehingga 15 Julai lalu ke dalam enam akaun berbeza.

Menurut Roslan, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis semalam dan usaha mengesan serta menjejaki suspek sedang dilakukan.

“Suspek telah dikenal pasti namun tangkapan masih belum dibuat kerana perlu melengkapkan proses siasatan dahulu,” katanya.

Tambah Roslan, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.

Pihak menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran secara atas talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.

0rang ramai katanya, diseru membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’.

“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa ‘scam’, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast