KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) meluluskan pembangunan bagi pelaksanaan 48 projek Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang berpotensi menjana pelaburan mencecah RM1.87 billion.
Projek berkenaan merupakan sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil dengan kapasiti sebanyak 181.25MW di bawah mekanisme Tarif Galakan atau Feed-in Tariff (FiT) sekaligus mula membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seawal tahun 2028.
“PETRA yakin inisiatif TBB di bawah mekanisme Tarif Galakan yang dilaksanakan ini bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif, sejajar dengan prinsip utama Malaysia Madani yang menekankan nilai kemampanan, inovasi serta kesejahteraan bersama,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, pelaksanaan projek TBB baharu di bawah mekanisme berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen PETRA meningkatkan kapasiti campuran TBB dalam pembekalan elekrik negara kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.
“Usaha peningkatan kapasiti sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil ini juga akan memperkukuhkan lagi daya
harap pembekalan elektrik negara dengan mempelbagaikan sumber penjanaan TBB selain membekalkan bekalan elektrik yang bersifat firm atau konsisten,” ujarnya.
Sebagai rekod, kerajaan telah mengumumkan penawaran dan pembukaan permohonan kelulusan tarif galakan berjumlah 190MW bagi tiga sumber itu pada 15 Januari 2025 hingga 19 Februari lalu.
Penawaran itu bertujuan mempelawa permohonan daripada pemaju TBB yang layak untuk menyertai proses bidaan secara
e-bidding.
Mengulas lanjut, PETRA berkata, sehingga kini sebanyak 59 permohonan telah diterima dan 48 permohonan yang memenuhi kriteria teknikal dan kewangan yang ditetapkan telah diluluskan.
“Kelulusan ini merangkumi 20 projek dengan jumlah kuota 30.93MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biogas, lapan projek dengan jumlah kuota 53.50MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biojisim dan 20 projek dengan jumlah kuota 96.82MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber hidrokuasa kecil,” jelasnya.
PETRA berkata, maklumat lanjut mengenai keputusan e-bidding di bawah mekanisme Tarif Galakan yang dikendalikan SEDA Malaysia ini boleh diperolehi melalui laman sesawang SEDA Malaysia di pautan www.seda.gov.my.- MalaysiaGazeztte
















