Jaykumar bersama isteri, P Kanaka dan pegum mereka selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskannya atas pertuduhan membunuh ibu tunggal dan rakan lelakinya

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan buruh di Singapura atas pertuduhan membunuh ibu tunggal dan rakan lelakinya di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini pada November 2018.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, M Jaykumar, 39, pada akhir kes pendakwaan.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaaan gagal membuktikan kematian mangsa, K Kamala, dan S Silvaraja yang ketika kejadian masing-masing berusia 51 dan 59 tahun, disebabkan kecederaan yang dilakukan tertuduh.

Jelasnya, mahkamah sudah menimbangkan secara maksima keterangan dikemukakan sepanjang kes pendakwaan dan selepas menghalusi hujahan bertulis pihak-pihak terbabit.

Mahkamah kata beliau, berpendapat kecederaan tubuh badan pada kedua-dua si mati mencukupi dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.

“Pendakwaan juga cuba bergantung kepada teori tertuduh adalah orang terakhir bersama si mati. Berdasarkan pertuduhan pindahan, pendakwaan memilih 31 Oktober 2018 lebih kurang 7 malam hingga 1 November pukul lebih kurang 3 pagi.

“Bagaimanapun mengikut keterangan saksi pendakwaan, pada pukul 11.40 malam Kamala masih bercakap melalui telefon.

“Mahkamah berpendapat tanpa keterangan lainnya tidak mencukupi untuk mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan Kamala dan Silvaraja.

“Mahkamah ini turut menimbangkan tiada kesan darah si mati dijumpai pada pakaian atau barangan lain tertuduh.

“Pendakwaan gagal membuktikan sama ada barang kemas yang dijual di pajak gadai oleh tertuduh adalah milik Kamala.

“Terdapat keraguan apabila masih terdapat barang kemas bersama si mati mengikut keterangan saksi pendakwaan,”katanya ketika membacakan penghakimannya.

Mengikut kertas pertuduhan, Jaykumar didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Kamala dan Silvaraja di Flat Jalan Hang Jebat 14, TUTA antara pukul 7 malam hingga 3 pagi, pada 31 Oktober hingga 1 November 2018.

Bagi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Seramai 20 orang saksi dikemukakan pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan M Jaykumar diwakili peguam Datin S Freda dan K Sarawanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast