BATU PAHAT – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah di sini hari ini.
Motosikal ditunggang mangsa dikatakan merempuh sebuah kereta yang memasuki simpang secara tiba-tiba dalam kejadian di kilometer 4, Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pukul 10.45 pagi itu mengorbankan Nor Azman Jailani berusia 24 tahun.
“Kemalangan tersebut melibatkan mangsa dan seorang lelaki warga emas yang memandu sebuah kereta. Siasatan awal mendapati motosikal mangsa datang dari bandar Batu Pahat menghala ke Tongkang Pechah manakala kereta dipandu warga emas itu datang dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba ditempat kejadian, kereta dipandu warga emas itu membelok ke kanan untuk memasuki simpang Taman Hajjat.
“Mangsa yang datang dari hadapan tidak sempat mengelak lalu berlaku pertembungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal di lokasi kemalangan.
Shahrulanuar berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.- MalaysiaGazette
















