JOHOR BAHRU – Siasatan akan dilakukan sama ada lubang saluran kabel bawah tanah yang berada dalam keadaan terbuka sebelum dilanggar van sekolah hingga terbalik pagi tadi ada unsur cubaan mencuri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kejadian berlaku dalam keadaan lubang tersebut terbuka sebelum dilanggar van sekolah terbabit.
“Saya dimaklumkan penutup lubang yang terbuka itu merupakan milik syarikat Telekom Malaysia (TM). Mereka mengesahkan tiada kerja-kerja di kawasan tersebut dalam tempoh terdekat dilaksanakan oleh kontraktor mereka.
“Keadaan penutup mainhole yang berada dalam keadaan terbuka dipercayai ada unsur cubaan mencuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.01 pagi, van sekolah itu terbalik selepas melanggar lobang tersebut dan mengakibatkan 16 mangsa cedera termasuk tiga murid patah tangan serta patah jari.
Mangsa terdiri daripada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, SMK Aminuddin Baki dan enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.
Pemandu van sekolah tersebut pula turut cedera dan menerima rawatan di HSA, kejadian berlaku semasa dalam perjalanan ke sekolah masing-masing.
Mohamad Fazli memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti seperti rakaman kes cubaan mencuri ini atau tindakan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab membuka penutup dan membiarkannya terbuka tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















