Pusat Kawalan Tempat Kejadian PKTK yang dibuka di Sungai Tui, Bukit Kepong, Pagoh, Muar, ditutup secara rasmi hari ini selepas toada petunjuk baharu.

MUAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin yang dikhuatiri lemas dalam Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong di sini sejak Selasa lalu dihentikan hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, SAR mengesan pempengaruh permotoran berusia 38 tahun itu dihentikan kerana tidak ada penemuan atau petunjuk baharu.

“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang dibuka di lokasi juga ditutup secara rasmi. Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan beberapa faktor.

“Ini termasuk usaha pencarian terperinci di lokasi kejadian yang telah selesai tanpa penemuan baharu serta keperluan memperluas pencarian ke lokasi lain.

“Mangsa dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya ditemui dalam keadaan separa tenggelam di Sungai Tui dalam kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Kepong, Selasa lalu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, operasi SAR itu digerakkan serta-merta pada hari sama dengan kekuatan 77 pegawai dan anggota pelbagai agensi penyelamat meliputi pencarian dari darat, air dan udara dalam radius beberapa kilometer dari lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini, mangsa masih belum ditemui dan tiada petunjuk baharu berjaya dikesan,” katanya.

Justeru operasi SAR itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Dron JBPM, Pasukan Polis Marin, Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Raiz Mukhliz berkata, poses pencarian seterusnya akan dilaksanakan secara berkala oleh anggota Balai Polis Lenga dengan bantuan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Justeru beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

Sebarang maklumat berkaitan kehilangan Tengku Nizaruddin boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Ismail Ali 013-7165432.

Selasa lalu, portal ini melaporkan Tengku Nizaruddin atau dikenali sebagai Ija hilang selepas kereta jenis Perodua Axia putih dipandunya terjunam dalam sungai itu.

Bagaimanapun, Ija tidak ditemui dalam keretanya itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast