BUTTERWORTH – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini atas pertuduhan samun dan mencabul kehormatan seorang wanita warga Myanmar pada awal bulan ini.
Tertuduh, Lee Chun Yong, 41, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran dan Majistret, Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa melakukan samun terhadap seorang wanita warga Myanmar dengan melarikan pelbagai barang kemas iaitu 10 bentuk cincin, lima utas rantai tangan, dua pasang subang, dua rantai leher, dua buah telefon bimbit jenama iPhone dan Oppo serta wang tunai RM200 bersama kad ATM Hong Leong.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 7 malam di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan Lorong Aman, Telok Air Tawar di sini, pada 6 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal, tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, peguam Y. Yogeswaran yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
“Anak guam saya perlu menyara dua anak yang masih bersekolah memandangkan isterinya sudah tidak tinggal bersama.
“Dia juga merupakan pesakit jantung, manakala bapanya yang tidak bekerja tetap hadir ke mahkamah hari ini untuk menjamin. Justeru, saya memohon agar jaminan yang dikenakan adalah pada kadar yang paling minimum,” katanya.
Nor Azah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Chun Yong didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan niat mencabul kehormatannya pada masa dan tempat serupa.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Ketika pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan jaminan RM6,000 namun Yogeswaran memohon agar jaminan minimum diberikan berdasarkan alasan yang sama dikemukakan di Mahkamah Sesyen.
Aini Adilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes. – MalaysiaGazette
















