GEORGE TOWN – Jumlah kerugian akibat kes penipuan dalam talian di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan mendadak tahun ini apabila lebih RM112 juta dilaporkan lesap dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, angka itu menunjukkan peningkatan hampir RM43 juta berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan kerugian lebih RM70 juta.

Menurut beliau, kegiatan sindiket penipuan atau ‘scammer’ terus aktif dan agresif, namun tindakan berterusan pihak polis telah membawa kepada beberapa kejayaan dalam usaha membanteras jenayah itu.

“Sejak Januari hingga Julai, lapan serbuan telah dilaksanakan terhadap sindiket yang menjalankan operasi pusat panggilan penipuan di sekitar negeri ini.

“Seramai 75 individu ditahan sepanjang serbuan tersebut, terdiri daripada 51 lelaki dan 24 wanita. Daripada jumlah itu, 39 adalah warga tempatan manakala 36 lagi warga asing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Alwi turut mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan atau mesej yang mencurigakan, terutamanya yang menawarkan pulangan lumayan atau mendesak agar maklumat peribadi diberikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast