JOHOR BAHRU – Tiga daripada 10 murid yang cedera selepas van sekolah melanggar lubang pembentungan sehingga terbalik di Jalan Abdul Samad di sini pagi tadi dijangka dibenarkan pulang dari Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin memberitahu, tiga mangsa itu adalah murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.
“Mereka dijangka dibenarkan pulang petang ini manakala tujuh lagi murid SJKT tersebut masih dirawat di wad kecemasan HSA sehingga kini.
“Sementara enam mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid dan SMK Aminuddin Baki selamat dan tidak serius,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pada pukul 7.01 pagi itu, van sekolah berkenaan terbalik dan mengakibatkan 16 mangsa cedera termasuk ada murid patah tangan dan patah jari.
Mangsa terdiri daripada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, SMK Aminuddin Baki dan enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.
Pemandu van sekolah tersebut pula turut cedera dan menerima rawatan di HSA.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam kejadian itu, seorang murid patah tangan, dua murid patah jari manakala tujuh lagi cedera ringan mereka adalah murid SJKT Jalan Yahya Awal.
Tambahnya, semua mangsa tersebut berumur 10 tahun hingga 12 tahun.- MalaysiaGazette
















