SHAH ALAM – Kehadiran dua pemimpin kanan Malaysian Indian Congress (MIC) yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan di Perhimpunan Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini mencuri tumpuan umum.
Dua pemimpin itu ialah Setiausaha Agung MIC, Datuk S Ananthan dan Setiausaha Eksekutif Pusat MIC, Datuk AT Kumararajah, turut dilihat hadir ialah pengasas Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad serta barisan kepimpinan utama parti itu.

Pengumuman kehadiran mereka dibuat oleh Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika menyampaikan ucapan dasar di Pusat Konvensyen IDCC di sini yang mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan dan hadirin.
Mukhriz turut mengumumkan kehadiran beberapa pemimpin utama pembangkang termasuk Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Wanita Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Muslimat PAS, Senator Nuridah Mohd Salleh dan Presiden MIPP, P Punithan dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.
Wakil daripada parti-parti lain seperti Gerakan, Muda, Putra, Asli dan beberapa NGO turut hadir sebagai tetamu jemputan.
Sementara itu, Kumararajah memberitahu media kehadiran mereka ke AGM Pejuang adalah atas jemputan rasmi dan telah mendapat keizinan daripada pucuk pimpinan MIC.
“Kehadiran kami adalah dengan izin Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran. Kami datang atas dasar jemputan,” katanya ringkas.
Mukhriz dalam ucapannya turut menyebut bahawa pemimpin MCA yang juga sebahagian daripada kerajaan Perpaduan turut dijemput ke majlis tersebut parti itu tidak dapat hadir pada saat-saat akhir.
Dalam pada itu, MalaysiaGazette yang menghubungi Vigneswaran juga mengesahkan perkara itu sambil menjelaskan pihaknya hadir sebagai jemputan.
“Tidak ada salahnya hadir selepas diundang,” ujarnya ringkas. -MalaysiaGazette
















