Aksi pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bakal kembali melakukan kebangkitan selepas mara ke final Terbuka Jepun hari ini untuk meraih gelaran kedua mereka musim ini selepas muncul juara Terbuka India Januari lalu.

Mereka kini hanya dipisahkan satu kemenangan untuk mencipta sejarah sebagai beregu lelaki pertama Malaysia menjuarai Terbuka Jepun sebanyak dua kali.

Jika berjaya mempertahankan gelaran esok, Sze Fei-Izzuddin akan mengatasi pencapaian beregu legenda negara seperti Razif-Jalani Sidek (1986), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998), dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002) yang masing-masing pernah menjulang Terbuka Jepun sekali.

Dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Sze Fei-Izzuddin menewaskan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-19, 21-11 dalam tempoh 35 minit, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas lawan berkenaan selepas turut menumbangkan mereka dalam laluan muncul juara tahun lalu.

Bagaimanapun, cabaran getir menanti di final apabila mereka dijadual bertemu gandingan sensasi Korea Selatan yang juga pasangan nombor tiga dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae bagi perebutan gelaran juara.

Rekod pertemuan kedua-dua pasangan kini terikat 1-1, dengan kemenangan terakhir memihak kepada Won Ho-Seung Jae di pusingan kedua Seluruh England Mac lalu, manakala Sze Fei-Izzuddin menewaskan mereka dalam aksi final Terbuka India sebelum itu.

Won Ho-Seung Jae mara ke final selepas menundukkan beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-14, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pearly Tan-M Thinaah

Sementara itu, beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah bakal berdepan pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada final Terbuka Jepun, esok.Beregu ranking ketiga dunia itu sebelum ini menamatkan badi kekalahan kepada gandingan nombor dua dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida untuk melangkah ke pentas final selepas mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-11 dalam masa hanya 36 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan rekod buruk Pearly-Thinaah yang sebelum ini tewas dalam 13 daripada 14 pertemuan menentang Matsuyama-Shida termasuk tujuh pertemuan terakhir mereka.

Ini adalah final keempat Pearly-Thinaah musim ini selepas Masters Indonesia, Terbuka Thailand dan Terbuka Indonesia, dengan kejayaan meraih gelaran juara di Terbuka Thailand.

Pada aksi final, mereka akan berdepan Sheng Shu-Tan Ning yang mara selepas menundukkan rakan senegara, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-7, 21-16 di separuh akhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast