JOHOR BAHRU – Seorang pengurus syarikat swasta berputih mata apabila rugi RM262,669 akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian bermula April lalu apabila lelaki tempatan berusia 39 tahun itu melihat iklan pelaburan saham dalam WhatsApp.

“Mangsa yang berminat telah menekan butang pautan yang diberikan. Mangsa dijanjikan keuntungan yang tinggi dan berganda dalam tempoh yang singkat.

“Kemudian mangsa melakukan 16 transaksi ke dalam dua akaun bank berlainan bermula 25 April hingga 4 Julai lalu dengan jumlah keseluruhan RM262,669,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohd Sohaimi, mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan lagi bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburan namun gagal.

Mangsa kemudian menyedari ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburannya gagal.

“Mangsa kemudian datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam hari ini untuk membuat aduan ditipu,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan siasatan juga akan dilakukan sekiranya ada melibatkan kedai akaun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast