KUALA LUMPUR – Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Malaysia dan University of Canterbury (UC), New Zealand telah memeterai satu kerjasama akademik melalui pertukaran Surat Hasrat (LoI) yang memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang kejuruteraan kimia dan proses, teknologi makanan halal dan pembangunan lestari.
Majlis Pertukaran LoI ini telah berlangsung di Perpustakaan Negara, Wellington, New Zealand dan disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, serta Andrew Hoggard, Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan dan Menteri Bersekutu Agrikultur (Kemahiran Kebajikan Haiwan) dan Alam Sekitar, New Zealand.
Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti, dengan fokus kepada mobiliti pelajar dan staf, pertukaran pengetahuan dan penyelidikan bersama.
Bidang kerjasama utama termasuk kejuruteraan kimia, sistem makanan halal dan pengeluaran makanan secara lestari ialah bidang yang semakin penting untuk kelestarian serantau dan global.
Turut hadir dalam majlis ini Pengerusi UniKL, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya SDG 2 (Kebuluran Sifar) dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Mapan), kerjasama ini bertujuan menjalankan inisiatif penyelidikan bersama dalam teknologi makanan halal, pengeluaran makanan lestari, serta kejuruteraan kimia dan proses, mewujudkan program pertukaran pelajar dan staf, termasuk lawatan akademik,
penempatan penyelidikan dan aktiviti pertukaran budaya dan membangunkan laluan artikulasi pelajar melalui program kolaboratif (model 2+2 dan 2.5+3), bagi memperluas mobiliti dan kebolehpasaran graduan.
Selain itu, menyokong pembangunan bersama kurikulum, penyeliaan bersama serta perkongsian amalan terbaik akademik dan menyediakan laluan artikulasi baharu 2+2 dengan fokus dalam bidang agroteknologi.
Kerjasama selama dua tahun ini dijangka dapat memperluaskan peluang pendidikan kepada pelajar UniKL serta meningkatkan hasil penyelidikan yang menyumbang kepada keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.
Ia turut mengukuhkan kedudukan strategik kedua-dua universiti dalam sektor pendidikan tinggi di rantau Asia Pasifik dan peringkat global.
Kedua-dua universiti akan terus mengenal pasti projek penyelidikan bersama, melaksanakan aktiviti pertukaran pelajar dan staf, serta memuktamadkan laluan artikulasi yang mematuhi piawaian akademik dan akreditasi. – MalaysiaGazette
















